Tuesday, 1 May 2012
@10:53
Sabar sebagai pelampung bagi orang yang beriman
Orang yang beriman, telah diperingatkan oleh Allah Azza wa Jalla supaya bersabar dalam menghadapi masalah. Telah datang petunjuk buat orang beriman apabila diuji;
يا أيها الذين آمنوا اصبروا وصابروا ورابطوا واتقوا الله لعلكم تفلحون
Hai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersedia dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung. [Ali Imran: 200]
Menurut al-Baghawi, al-Qurtubi menafsirkan arahan supaya bersabar itu adalah merujuk kepada; bersabar di atas ketaatan kepada Allah.
Kesabaran mesti dijana dengan ketaatan sebagai dasar untuk mengelakkan goyah iman serta berputus asa. Bahkan, kerana ketaatan jugalah, manusia akan menjadi redha atas ujian yang berlaku.
Sabar itu juga adalah sunnah para Nabi dan Rasul. Ini jelas sebagaimana dikhabarkan oleh Allah;
وإسماعيل وإدريس وذا الكفل كل من الصابرين
Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta ZulKifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar. [Al-Anbiya’: 85]
Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam menyatakan bahawa Allah menyukai orang yang bersabar. Ini adalah sebagaimana yang datang di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas;
قال رسول الله صلى الله عليه و سلم للأشج أشج عبدالقيس إن فيك خصلتين يحبهما الله الحلم والأناة
Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam berkata kepada al-A-syaj Abdul Qays; “Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua perkara yang dicintai oleh Allah, iaitu kesabaran serta lemah lembut.” [Riwayat Muslim]
Kaedah Bersabar
Rasulullah melalui satu hadith mengisyaratkan bersabar itu perlulah pada awal kejadian atau pada kejadian yang pertama.
الصبر عند الصدمة الأولى
Bersabar itu adalah pada pukulan yang pertama. [Riwayat Muslim]
Jika dilihat pada sudut logik akal, manusia ini diukur pada peringkat yang awal. Peringkat pertama adalah yang paling penting dalam menghadapi sesuatu hal. Seandainya dia tidak mampu bertahan pada ujian yang awal. Nescaya, pada yang seterusnya dia mungkin saja rebah. Jadi, di sini, bilamana dikenakan ujian, maka penting sekali untuk kita membina ketahanan diri. Bukan atas faktor ‘alah bisa tegal biasa’, akan tetapi, apabila seorang manusia sudah mempunyai pengalaman pada yang awal tentu sekali dia sudah mula bersedia dan menjadi lebih rasional dalam menghadapi ujian lain yang sama takaran dengannya.
Kesimpulan
Maka bersabarlah. Bersabarlah dalam menghadapi dugaan dan ujian daripada Allah dengan mencontohi sikap para Nabi. Dan ketahuilah, bahawa untuk setiap ujian yang diberikan oleh Allah pasti aka nada perkara yang lebih baik menanti.
Maka, jadikanlah, atsar dari ‘Umar al-Khattab ini sebagai panduan.
Umar berkata, “Alangkah baiknya mendapat separuh beban pada dua sisi binatang tunggangan. Alangkah baiknya apa yang ada di antara beban dua sisi itu, “iaitu, orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Sesungguhnya kami kepunyaan Allah, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Nya.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Baqarah: 156-157). Juga firman-Nya, “Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu.” (al-Baqarah: 45) [Riwayat al-Bukhari, http://opi.110mb.com/haditsweb/bukhari/b23_kitab_jenazah.htm]
Wajib untuk kita bersabar, dan selain itu, untuk bersyukur kepada Allah . Kerana orang yang diberikan musibah, atau ujian, pasti akan mendapat ganjaran dari Allah Azza wa Jalla, sebagaimana hadith yang datang pada awal tadi.
Dan bersabarlah! Kerana Allah bersama-sama orang yang sabar!
يا أيها الذين آمنوا استعينوا بالصبر والصلاة إن الله مع الصابرين
Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar. [al-Baqarah: 153]